Thursday, February 09, 2006
A nice article i got through email. Never realised this phenomenon before though, maybe because i'm not in malaysia kott. Being husnuzhonn, jangan la semua yg kita nampak bertudung labuh dan berkopiah yang jalan berdua tu nanti dianggap couple anta anti ni, i guess most of them are married. But its a wonder though, how come these people claiming to fight for islam, faham islam, yet can do such act. 1 kesimpulan yang sy boleh buat, sebenarnya mereka takde kefahaman ponn... I dont know...what do u think??
Fenomena CINTA ‘Anta dan Anti’
“Sesungguhnya mukmin itu bersaudara” (al-Hujurat: 10)
“Tidak beriman seorang muslim itu sehingga dia mencintai saudaranya sepertimana dia mencintai dirinya.” (HR Bukhari)
Bagi mereka yang mempelajari kedua-dua ayat dan hadis di ata, apa yang difahami ialah semua mukmin itu bersaudara dan setiap muslim mempunyai tanggungjawab terhadap saudaranya yang lain. Selain daripada kedua-dua nas dia atas, berdozen lagi dalil-dalil yang menunjukkan yang menunjukkan kewajiban seseorang muslim mencintai, mengambil berat, membantu, mengambil sikap peduli, dan juga mengasihi saudara seagamanya. Perkataan ‘ukhuwwah’ yang membawa erti ‘persaudaraan’ sering dijadikan tema untuk memperlihatkan satu hubungan yang ikhlas dan bertunjangkan kepada keimanan dan ketaqwaan.
Kisah-kisah para sahabat yang berjuang dan berkorban untuk para sahabat yang lain menjadi contoh teladan kepada generasi muda-mudi Muslim zaman moden ini. Inilah yang menjadi pengamalan anak-anak harakah Islamiyyah dan dakwah semenjak kebangkitan Islam di era 70’an lagi.
Kebangkitan Islam yang telah menemukan kemuncaknya di Malaysia telah menyaksikan pesatnya usaha dakwah, kemunculan sekolah-sekolah agama, bank-bank Islam, pelbagai nama lagi dilabel atas nama Islam. Tiada siapa yang dapat menafikan, itu semua adalah hasil daya usaha sama ada secara langsung atau tidak langsung, pedukung-pendukung gerakan Islam semenjak tiga dekad yang lalu. Di waktu yang sama, pemikiran barat sekular, liberalisasi, dan juga budaya hedonisme pesat menular dan bersaing. Kedua-dua arus ini telah melahirkan budaya yang baru di dalam fenomena kebangkitan Islam Malaysia.
Jika di awal kebangkitan Islam dulu, dunia hanya dilihat sebagai hitam dan putih. Kehidupan di dalam duniaini di waktu ituhanya dilihat sama ada berpihak kepada Islam atau pun jahiliyyah. Di alaf ini, dunia tidak lagi hitam dan putih dan bukan lagi Jahiliyyah versus Islam. Penjalinan di antara apa yang ada di dunia dan apa yang ada di dalam nas telah menyaksikan pelbagai kesan dan proses evolusi berlaku. Ada yang positif dan ada yang negative. Antara yang terkesan dengan fenomena ini ialah persoalan ‘ukhuwwah’.
CINTA REMAJA DAKWAH
Fenomena ini difokuskan berdasarkan kisah-kisah pelajar dan remaja di IPT. Pelbagai masalah, isu, dan pengalaman yang mereka bawa untuk diperbincangkan. Antara perkara yang sering dibawa ke medan perbincangan ialah persoalan ‘cinta’. Alaf yang serba unik ini telah menyaksikan bagaimana para remaja dan belia dakwah tidak dapat lari daripada fenomena dan persoalan cinta. Menariknya, cinta yang mereka alami ini telah ‘diIslamikkan’ seperti mana bank-bank, institusi-institusi kerajaan, dan badan-badan tertentu. Maka timbullah istilah ‘Cinta Ukhuwwah’. Ayat-ayat dan hadis-hadis sering dijadikan alat untuk menjustifikasikan apa yang dilakukan. Menarik lagi gejala ini menular di kalangan mereka yang berkopiah, berserban, bertudung litup, naqibah-naqibah usrah dan mereka yang menggunakan ganti nama ‘ana-anta’ dan ‘ana-enti’.
SMS, Yahoo Messenger, e-mail dan lain-lain kemudahan perhubungan era ICT telah menjadi penghubung utama cinta ‘anta-enti’ ini. Ia lebih selamat, kerana tidak perlu berdating seperti pasangan yang tidak Islamik. Tidak perlu membazir tambang teksi, tambang bas, tiket wayang, dan juga kertas-kertas wangi (surat). Bermula dengan kata-kata tazkirah, berakhir dengan ikon senyuman, teddy bear dan kadang-kadang gambar wanita bertudung.
Malah ada yang menjadikan kehadiran di seminar-seminar, kursus-kursus, dan juga wacana-wacana ilmiyah sebagai peluang untuk berjumpa. Bagi yang aktif berpersatuan pula, mesyuarat dan aktiviti persatuan sering dijadikan sebagai medan melepas rindu. Alahai… kreatif betul anak-anak muda dakwah alaf baru ini.
Fenomena yang berlaku ini dimeriahkan dan dikosmetikkan lagi oleh nasyid-nasyid melayu yang berpaksikan cinta muda-mudi. Klip-klip video nasyid pun, tajuk-tajuk yang bombastic berbau cinta asmara. Hakikatnya, fenomena cinta ‘anta-anti’ in semakin ketara dan semakin rancak. Ada yang berakhir dengan perkahwinan, dan ada juga yang kecewa di pertengahan jalan, dan tidak kurang juga yang telah menjerumuskan kedua-dua pasangan ke lembah maksiat.
PENYALAHGUNAAN ISTILAH ‘UKHUWWAH FILLAH’
Dari satu kisah, seorang siswi datang mengadu bahawa dia diusik oleh seorang ‘Pak Lebai’. Bukan sekadar sms, kad ucapan, malah sejambak bunga ros dihadiahkan.
Persoalannya, apakah tanggapan masyarakat terhadap fenomena seumpama ini? Yang pasti di setiap kad, sms, jambangan bunga tersebut terukir kata-kata ‘Ukhuwwah fillah kekal abadi…’. Sekali lagi makna ukhuwwah disalah gunakan.
Dalam satu kes yang lain pula, seorang siswa meluahkan kekecewaannya apabila dihampakanoleh seorang siswi yang satu ‘jemaah’ dengannya. Beliau tidak sangka setelah berpuluh-puluh minggu mereka bertukar-tukar sms dan tazkirah melalui e-mail, akhirnya siswi tersebut bertunang dengan orang lain yang juga satu ‘jemaah’ dengan mereka. Aduh… lagi hebat daripada filem ‘Love Story’ yang pernah popular di tahun-tahun 70’an dulu. Yang pasti, sekali lagi tema ‘ukhuwwah fillah’ menjadi ‘camouflagde’ ke atas perhubungan antara dua jantina yang ada kesedaran Islam ini.
Dalam satu insiden yang lain pula, seorang siswi pernah meminta pendapat. Seorang seniornya yang sedang menuntut di dalam IPT yang sama dengan beliau telah bersungguh-sungguh melamarnya. Walaupun telah ditolak lebih 20 kali, namun si teruna tersebut terus melamarnya juga.
Sekali lagi slogan ‘ukhuwwah fillah’ menjadi lapik dan dijadikan bahan ugutan. Jika si siswi tadi menolak lamarannya, maka hatinya akan hancur, dan ia bertentangan dengan mafhum hadis tadi. Oleh kerana bersimpati dengan si senior tersebut, si siswi terpaksa menerima lamaran itu. Menarik bukan ‘trend’ percintaan golongan ‘anta-anti’ ini.
Seorang siswa juga pernah meluahkan kemarahannya ke atas naqib usrahnya di bilik seorang ustaz. Mengapa tidak, tatkala di dalam bilik usrah, berkepul-kepul dalil dan fikrah yang dibawanya. Sampaikan ketika pertukaran ke usrah lain, si naqib meminta siswa tadi agar berbai’ah untuk kekal di dalam perjuangan dan tidak menyertai jemaah lain. Sayangnya, di dalam perjalanan balik kampong, siswa tersebut nampak sang naqib berjalan berpegangan tangan dengan naqibah sekelas mereka… Inilah yang paling menarik. Lebih hebat lagi, kedua-dua mereka lengkap dengan aksesori berkopiah dan bertudung litup. Jika di zaman awal kebangkitan Islam sekitar 70’an dulu nescaya apa yang dilakukan oleh sang naqib dan naqibah tersebut bakal menerima cop ‘kafir’ dari pendukung gerakan dakwah yang lain.
Di satu sudut yang lain pula, seorang siswa yang sering menceritakan kehebatan ‘abuya’ nya, juga tidak dapat lari daripadafenomena cinta ‘anta-enti’ ini. Kita pasti kagum dengan siswa yang sering muncul dengan baju melayu berkancing dan juga songkok berwarna-warni ini. Matanya yang bercelak sahaja sudah cukup untuk rakan-rakan yang lain hormat kepadanya. Sayangnya, atas takdir ALLAH, ketika seorang ustaz berkunjung untuk menziarahi beliau, ustaz tersebut ternampak gambar seorang muslimah menghiasi desktop computer peribadinya. Ditanyakan sama ada itu adik, kakak, emak, atau neneknya, beliau menafikannya. Beliau terpaksa mengaku bahawa itu adalah ‘kawannya’. Yang hebatnya, tertulis di sebelah keayuan wajah gadis tersebut ‘ukhuwwah fillah membawa ke jannah’.
Persoalannya, adakah fenomena ini sihat? Adakah ia sudah cukup Islamik? Atau kitakah yang ketinggalan zaman sehingga naïf terhadap trend muda masa kini? Atau pun fiqh Islami juga perlu diubahkan untuk disesuaikan dengan perubahan semasa. Di dalam artikel yang terhad ini, saya menyarankan para pembaca membuat penilaian sendiri samaada fenomena ini ‘sihat’ atau sebaliknya?
~~*posted on*~~ Thursday, February 09, 2006