Tuesday, September 05, 2006
Hanya gerhana, bukan terbenamnya matahari. Insyaallah, masih ada peluang dan harapan. Dalam kita meniti kegeraman terhadap kebejatan anak2 Malaysia, spesifiknya paparan malam merdeka yang lalu, 'diperindah' pula dgn paparan utusan malaysia "ini generasi merdeka" gah terpampang foto entah berapa ratus ribu manusia berkumpul di dataran menyambut merdeka, jangan lupa, kita sebenarnya punya tanggungjawab jauh lebih mulia daripada hanya mengutuk mencerca dan menghina. Berikut tulisan sdr Mohd Masri Mohd Ramli (betoi ke nama ni) yang mengikuti ops di KLCC pd mlm ambang kemerdekaan.
Assalamualaikum WBT..
Malam countdown merdeka saya berada di KLCC dengan kawan-kawan. Melihat
bunga api yang sungguh indah. Malam itu bertolak dari UIA selepas Isyak
dengan LRT Putra dari Terminal ke KLCC. Itu kali pertama saya ke KLCC
sejak belajar di KL. Dari UIA, kami ada dalam lima enam orang. Tiba di
KLCC sudah sesak dengan kawan-kawan kita. Mudah dikeanli mereka yang
punk dengan rambut terpacak mereka dan seribu satu feseyen lagi. Katak
bawah tempurung rupanya saya sebab banyak feseyen yang saya belum
pernah lihat sebelum ini. Tujuan pertama malam itu ialah untuk tiba di
Masjid asy-Syakirin KLCC. Berkumpul di sana sambil menunggu kemunculan
rakan-rakan lain. Di masjid sudah ada lebih kurang 1000 orang pelajar
yang dengan sukarela membantu PERKID untuk operasi malam merdeka itu.
Ketika kami tiba, PERKID sedang mengadakan taklimat. Sambil di masjid
ada program bersama Mufti Perak, Ustaz Akhil Hayy dan kumpulan nasyid
lain..
Berjumpa dengan rakan-rakan dari matrik PJ. Mereka sudah menyiapkan
beberapa risalah yang amat menarik ada yang untuk bukan Islam, ada yang
pasal ketenangan diri, ada yang tentang dating. Kami dari UIA Gombak
pula membawa risalah tentang mati dan juga risalah untuk bukan Islam..
Makin lama makin ramai rakan-rakan yang tiba. Dhany memberikan taklimat
apa yang patut kami lakukan malam itu. Bagaimana nak dekat dengan
sahabat-sahabat kita di KLCC semua diberitahu, apa yang boleh dibuat
dan apa yang tidak boleh. Sebelum bunga api dilancarkan, saya dan
beberapa rakan saya dalam 4-5 orang bergerak ke dalam kumpulan orang
ramai. Kami menunggu bunga api bersama-sama mereka. Lawa jugak bunga
api, mana taknye ini kali pertama saya pergi sambutan merdeka..
Selepas pertunjukan bunga api selesai, kami bergerak perlahan-lahan
sambil mengedar risalah. Betul kata orang, kita kena selalu fikir
positif. Kita selalu fikir kawan-kawan kita di KLCC ini akan mencemuh
kita dan lain-lain pandangan yang buruk. Tapi Alhamdulillah, kami
dijumpakan dengan kawan-kawan kita yang tidak seperti itu. Mereka ada
yang memakai tudung, ada yang tidak, ada yang pakai baju ketat, ada
yang sedang memadu asmara dengan pasangan mereka di tepi tasik KLCC.
Mula-mula takut mahu dekat dengan mereka, tapi akhirnya tiada rasa
takut lagi. Sekurang-kurangnya pandangan atau sangka buruk kita pada
mereka berkurangan. Mereka tidak sejahat yang dikata. Di dalam hati
mereka masih ada rasa hormat, masih ada Iman, masih ada agama, masih
ada Tuhan, cuma mungkin mereka tersilap jalan. Sempat berbual-bual
dengan mereka sambil-sambil edar risalah..
Ada yang dengan ramah bertanya kami dari mana. Mungkin mereka sangka
kami dari kumpulan-kumpulan tertentu. Saya hanya jawab dari UIA. Ada
juga yang baik-baik walau nampak ganas, siap bersalam dengan kita lagi.
Tidak ada muka kebencian. Ada juga yang mungkin bergurau dengan kita.
Seorang sahabat perempuan kita yang tidak bertudung di sana bergurau
dengan berkata kepada saya: "Abang, bagi saya risalah tu lagi, nak buat
roket." Saya gelak je sambil hulur lagi risalah pada dia. Mungkin dia
hanya gurau sahaja, mana tahu risalah tu akan dia beri pula pada kawan
dia. Waktu dia cakap macam tu, rakan dia di sebelah yang bertudung
tetapi pakaiannya bleh tahan ketat menegurnya kerana kata-katanya
kepada saya itu. Tapi bagi saya itu kira ok sahaja. Cukup tunjuk walau
mereka tidak pakai macam kita, tidak tutup aurat, mereka masih ada
perasaan bila lihat orang buat kerja dakwah diperli (walaupun bagi saya
kawan dia yang tidak bertudung itu hanya bergurau)..
Kami bergerak lagi, sedikit sahaja bukan Islam di sana. Bertembung
ramai-ramai sahabat-sahabat kita yang sedang duduk di tempat-tempat
gelap, kami pergi pada mereka hulur pada mereka risalah sambil memberi
salam. Tidak lupa ucap terima kasih pada mereka kerana sudi terima
risalah kami..
Bertembung pula kumpulan yang bercampur baur lelaki dan perempuan, Pergi
pada mereka, ini kumpulan paling ramah kami pernah jumpa. Siap
borak-borak tanya belajar kat mana, siap semua budak-budak lelaki dalam
kumpulan tu salam lagi dengan kami. Mereka tidaklah sejahat mana..
Berjalan terus berjalan. Risalah untuk remaja sudah habis, yang tinggal
untuk bukan Islam. Sungguh sedikit bukan Islam malam itu. Bertembung
dengan sorang amoi tengah jual belon. Fikir dua kali macam mana nak
bagi risalah kat dia. Macam tak sedap pulak ganggu dia jual belon.
Akhirnya seluk saku, ada duit sikit. Pergi kat dia dan beli sebiji
belon, sambil bayar duit belon, hulurkan juga risalah. Akhirnya, saya
berjalan dengan belon yang terapung di udara yang terikat di beg saya.
Belon tu akhirnya bagi dekat sorang budak kecik yang tolong mak dia
berniaga kat tepi jalan..
Pukul 2 pagi, kembali ke Masjid asy-Syakirin dan bertolak pulang.
Kenangan manis di KLCC dengan rakan-rakan baru di malam merdeka tidak
boleh dilupakan..
Wslm WBT.
Sekian laporan dari saya, untuk edisi siasah. Moonee Ponds, melbourne.
~~*posted on*~~ Tuesday, September 05, 2006